Berikut ini adalah ringkasan kisah besar dan
mulia hijrah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke Madinah
berdasarkan maklumat dari kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Sheikh Safiyyu ar-Rahman
al-Mubarakfuri.
Ada beberapa maklumat yang mungkin berbeza dari yang biasa kita dengar
melalui ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan sebelum ini. Semoga kita semua
mendapat ibrah yang banyak dari kisah yang mulia ini.
Pada 26
Safar tahun ke-14 kenabian, setelah mendapat wahyu dari ALLAH Ta`ala, Nabi
Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam bergegas untuk berjumpa Abu Bakar bagi
menerangkan rancangan hijrah Baginda. Abu Bakar telah dapat meneka apa tujuan
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam berjumpa dengannya pada waktu tengahari yang
panas itu.
Setelah
diberitahu mengenai rancangan Baginda, Nabi pun pulang ke rumahnya semula untuk
menunggu tibanya waktu malam.
Dalam
masa yang sama, penjenayah-penjenayah besar Quraisy mula melakukan persiapan
untuk melaksanakan apa yang telah mereka bincangkan di Darul Nadwah pagi
tersebut, iaitu perancangan untuk membunuh Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa
sallam. 11 orang penjenayah telah terpilih untuk melaksanakan misi jahat
tersebut.
Bertolak dari Makkah
Apabila
malam menjelma, iaitu malam 27 Safar tahun ke-14 kenabian, 11 orang penjenayah
tersebut telah berkumpul di depan rumah Nabi. Pembunuhan telah dirancang untuk
diadakan pada setengah malam iaitu ketika Nabi sedang tidur. Jadi, sepanjang
malam itu mereka menunggu dan mengintai-intai samada Nabi sudah tidur atau
belum.
Namun,
kekuasaan ALLAH dan peliharaan ALLAH terhadap kekasihNYA mengatasi kesempurnaan
perancangan jahat penjenayah-penjenayah Quraisy tersebut sebagaimana disebut di
dalam Surah al-Anfal, ayat ke-30.
Sebelum
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bertolak meninggalkan rumah, Banginda telah
menyuruh Ali bin Abi Talib untuk tidur di tempat tidurnya dengan menggunakan
selimut yang biasa Nabi gunakan iaitu selimut al-Hadrami berwarna hijau. Nabi
kemudian keluar, mengambil pasir dan menaburkannya ke atas penjenayah-penjenayah
itu sambil membaca ayat ke-9 dari surah Yasin.
Dengan
izin ALLAH `Azza wa Jalla, penglihatan penjenayah-penjenayah tersebut ditutup
dan mereka tidak dapat melihat Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam. Mereka
terus menunggu waktu yang sesuai untuk melakukan pembunuhan, sedangkan Nabi
telah pun keluar meninggalkan rumahnya.
Dari
rumahnya, Nabi terus ke rumah Abu Bakar sebagaimana yang telah dirancang
tengahari tadi. Mereka berdua bertolak dari rumah Abu Bakar dari pintu belakang
dan terus meninggalkan Makkah sebelum waktu fajar.
Seorang
lelaki yang melihat dari jauh kemudiannya menegur penjenayah-penjenayah itu
kenapa tidak dilakukan seperti yang dirancang, kerana dia melihat Nabi Muhammad
sudah pun keluar meninggalkan rumahnya. Penjenayah-penjenayah itu mengatakan
bahawa mereka tidak nampak langsung Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam
seperti didakwa lelaki tersebut.
Setelah
mendengar penjelasan lelaki tersebut, penjenayah-penjenayah itu pun mengintai ke
dalam rumah Nabi dan melihat ada orang yang sedang tidur berselimut. Mereka pun
yakin bahawa lelaki yang mendakwa bahawa Nabi sudah keluar itu, tersilap. Mereka
lalu terus menunggu-nunggu sehingga menjelang pagi. Kecewalah mereka
rupa-rupanya yang di dalam selimut itu ialah Ali bin Abi Talib, bukannya Nabi
Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam.
Di Gua Thur Selama 3
Hari
Walaupun Yathrib (nama asal bagi Madinah)
terletak di Utara Makkah, namun Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tidak memilih
jalan biasa iaitu utara Makkah untuk ke sana. Ini kerana Baginda menyedari
bahawa risiko yang sangat tinggi buat mereka berdua di laluan tersebut yang
pastinya sedang menunggu Nabi.
Lokasi Bukit Thur
Sebaliknya, Baginda menuju selatan Makkah
sebagai jalan keluar Nabi dari Makkah. Setelah 5 batu berjalan, Nabi sampai di
Bukit Thur. Ketika melalui di atas bukit ini, kaki Nabi yang mulia melecet
kerana bukitnya berbatu bata dan sangat sukar untuk didaki. Abu Bakar terpaksa
memapah Baginda dengan bersusah payah hingga menemui sebuah gua di puncak bukit
tersebut.
Mereka
berdua tidak terus masuk ke dalam gua kerana khuatir ada bahaya di dalamnya.
Abu Bakar menawarkan diri untuk masuk terlebih dahulu untuk memeriksa dengan
katanya:
“Demi ALLAH, jangan engkau masuk ke dalamnya
melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku
yang kena, asalkan jangan kamu.”
Abu
Bakar menguis-nguis kakinya dan didapatinya ada 1 lubang. Beliau pun
mengoyakkan kainnya lalu menutup lubang tersebut. Kemudian didapati pula ada 2
lubang lagi di dalamnya, lalu ditutup 2 lubang tersebut dengan menekapkan 2
kakinya ke lubang tersebut.
Setelah
keadaan dirasakan agak selamat, barulah Abu Bakar memanggil Nabi Muhammad masuk
ke dalam gua. Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun masuk dan meletakkan
kepalanya di atas pangkuan Abu Bakar lalu tertidur. Tiba-tiba kaki Abu Bakar
disengat binatang berbisa dari salah satu lubang itu, namun ditahannya kesakitan
itu sehingga menitis air matanya di atas wajah mulia Baginda sallAllahu `alaihi
wa sallam. Nabi tersedar dan bertanyakan apa yang telah terjadi. Setelah Abu
bakar menceritakan bahawa beliau telah disengat, Baginda pun meludah ke tempat
sengatan itu, lantas hilanglah rasa sakit akibat sengatan binatang berbisa
itu.
Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dan
Abu Bakar berada di dalam gua tersebut selama 3 hari iaitu malam Jumaat, malam
Sabtu dan malam Ahad. Selama 3 hari tersebut, ada 2 insan yang terlibat sama,
iaitu `Abdullah bin Abu Bakar (anak lelaki Abu Bakar) dan `Amir bin Fuhayrah
(hamba Abu Bakar).
`Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan
Bukit Thur. Apabila waktu sahur, beliau akan ke Makkah seolah-olah dia tidur di
Makkah. Siangnya, beliau akan mengintip-ngintip perbualan orang-orang musyrikin
Makkah terutama yang berkaitan dengan usaha pembunuhan Nabi sallAllahu `alaihi
wa sallam. Semua berita akan disampaikan kepada Baginda pada malamnya apabila
`Abdullah bin Abu Bakar berjumpa Nabi. `Amir bin Fuhayrah pula mengembala
kambing-kambing milik Abu Bakar di kawasan tersebut. Apabila waktu malam,
beliau akan menghalau ternakan-ternakannya ke kawasan tempat Nabi dan Abu Bakar
bermalam dan membekalkan susu kepada mereka. Apabila malam sudah larut,
kambing-kambing itu akan dibawa ke Makkah mengikut jalan yang dilalui `Abdullah
bin Abu Bakar supaya jejak kakinya terpadam. Begitulah yang terjadi sepanjang 3
hari itu.
Dalam
pada itu, orang-orang kafir Makkah berasa sangat marah kerana tidak menjumpai
Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Ali bin Abi Talib telah dipukul dan
diseret ke ke Ka`bah dan Asma’ bin Abu Bakar pula telah ditempeleng dengan
sangat kuat dalam usaha mereka untuk mendapatkan maklumat di manakah Nabi
sallAllahu `alaihi wa sallam.
Bengang
dengan kegagalan mereka untuk mengesan Nabi, mereka lalu menyekat semua jalan
keluar Makkah dengan meletakkan lelaki-lelaki bersenjata dan tawaran 100 ekor
unta kepada sesiapa yang dapat menawan Nabi samada hidup atau mati turut
diwar-warkan. Dengan tawaran itu, maka ramailah orang yang berusaha mencari
Nabi yang terdiri dari orang biasa, para penjejak jalan dan pahlawan-pahlawan
Makkah.
Bertolak Dari Gua Thur ke Yathrib
(Madinah)
Selepas
3 hari di gua Thur, `Abdullah bin Urayqit al-Laythi seorang penunjuk jalan yang
mahir yang bukan beragama Islam, tetapi boleh dipercayai, telah menemui Nabi di
Gua Thur dengan membawa bersamanya kenderaan untuk mereka berdua, sebagaimana
dijanji sebelum itu. Mereka bertolak pada bulan Rabi`ul Awwal tahun 14
kenabian. Selain Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam dan Abu Bakar,
`Amir bin Fuhayrah dan `Abdullah bin Urayqit turut sama dalam perjalanan
tersebut. Sebelum bertolak, Asma’ bin Abu Bakar telah menemui mereka untuk
memberikan bekalan bagi menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar
itu.
Mereka
berempat menggunakan jalan selatan ke arah Yaman, kemudian menuju ke arah barat
iaitu pesisiran pantai. Sampai di kawasan yang agak terpencil, mereka berdua
menuju ke arah utara berhampiran Laut Merah menuju ke Yathrib dengan menggunakan
jalan yang jarang digunakan orang.
ALLAH
Subhanahu wa Ta`ala telah memelihara sepanjang perjalanan kekasihNYA dan
rombongannya itu. Bukan itu sahaja, malah terdapat beberapa peristiwa menarik
berlaku di mana beberapa individu dan kaum telah memeluk Islam apabila bertemu
dengan Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dalam perjalanan.
Singgah di Quba’ selama 4
Hari
Pada
hari Isnin, 8 Rabi`ul Awwal tahun ke 14 kenabian, Nabi Muhammad sallAllahu
`alaihi wa sallam dan rombongannya itu sampai di Quba’.
Di
Quba’, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam singgah di rumah Kalthum bin
al-Hadam. Baginda menetap selama 4 hari iaitu Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis di
Quba’. Di situ Baginda mengasaskan masjid dan bersolat di dalamnya. Itulah
masjid pertama yang diasaskan atas dasar taqwa selepas Baginda menjadi Nabi,
iaitu Masjid Quba’.
Sampai di Yathrib
(Madinah)
Pada
hari Jumaat, 12 Rabi`ul Awwal tahun ke-14 kenabian, Baginda bertolak ke Madinah
dengan rombongannya. Apabila masuk waktu solat Jumaat, Baginda singgah untuk
bersolat Jumaat di sebuah kawasan lembah di perkampungan Bani Salim bin Auf.
Seramai 100 orang lelaki menyertai mereka dalam solat tersebut.
Selepas
selesai solat Jumaat, Nabi terus bergerak ke negeri Yathrib dan disambut dengan
sangat meriah oleh penduduk di situ. Walapun orang Ansar di Yathrib bukanlah
orang yang mewah, tetapi masing-masing menawarkan diri supaya Nabi singgah dan
menetap di rumah mereka lantaran besar hati ingin melayan insan yang mereka
kasihi dan muliakan, iaitu Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa
sallam.
Sebenarnya sebelum hari yang dinanti-nanti
itu, mereka beramai-ramai telah menunggu Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam
setiap hari dan pulang semula apabila mendapati Baginda tidak sampai. Walaupun
penduduk Yathrib tidak mengenali wajah dan susuk Baginda, namun perasaan cinta
dan rindu mereka sangat tinggi terhadap Rasulullah sallAllahu `alaihi wa
sallam.
Rumah
Abu Ayyub al-Ansari telah terpilih menjadi tempat menetap Nabi sallAllahu
`alaihi wa sallam di Yathrib apabila unta Baginda berhenti di kampung Bani
al-Najjar iaitu kampung keluarga pihak bapa-bapa saudara sebelah ibu Baginda, di
mana rumah Abu Ayyub merupakan rumah yang paling hampir tempat unta tersebut
berhenti. Tapak unta itu berhenti dijadikan tapak Masjid Nabawi.
Beberapa hari selepas itu, Sawdah iaitu isteri
Baginda sampai bersama 2 puteri Baginda iaitu Fatimah dan Ummu Kalthum. Bersama
mereka juga Usamah bin Zaid dan Ummu Aiman. Mereka ini keluar dengan ditemani
oleh `Abdullah bin Abu Bakar dan `A’ishah. Puteri Baginda yang bernama Zainab
masih tinggal di Makkah bersama Abu al-`As kerana tidak mendapat peluang keluar
dari Makkah sehinggalah setelah peperangan Badar. Allahu A`lam.
Begitulah serba ringkas kisah hijrah
Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam dari Makkah ke Yathrib. Selepas
peristiwa besar itu, Yathrib digelar sebagai Madinah ar-Rasul sallAllahu `alaihi
wa sallam atau lebih dikenali dengan nama Madinah sahaja sehingga kini.
Peristiwa hijrah ini telah memulakan era baru dakwah Nabi sallAllahu `alaihi wa
sallam dengan peluang yang lebih besar dan cabaran yang lebih
hebat.
Allahumma solli `ala Muhammad, wa `ala aali
Muhammad.
Sekadar
menyampaikan,
Tuan/puan boleh membaca juga ringkasan kisah
Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam di sini, in sha' ALLAH: