Tuesday, 7 October 2014

PERGINYA AYAH KU MENGADAP ILAHI

Melalui zaman sakit selama 3 tahun terakhir yang agak berat, akhirnya ayah dpianggil mengadap penciptaNya. Ayah sakit berulang. Kanser hatinya telah merebak sedikit demi sedikit hingga tiada apa lagi yang mampu dibuat oleh pakar-pakar perubatan.

Ayah ulang alik ke HUSM dan Hospital Nur Zahirah. Tapi, kelihatan ayah masih sihat untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.


Ini ayahku semasa masih lagi bekerja. jawatan akhir ayah ialah Editor Bernama di Kuala Lumpur. Meskipun tidak tinggal bersama semenjak ayah dan mak berpisah, namun kasih aku padanya tetap tidak berubah. Dia satunya ayah kandung aku.

Sakit ayah ku lihat semakin lemah dari hari ke hari. Susut badannya semakin kurus dari hari ke hari. Selera makannya semakin merosot. Ayah minum melalui straw sahaja kerana tenaganya sudah tidak kuat lagi untuk menelan air melalui gelas.

Kerusi roda sudah menjadi keperluan bagi menampung pergerakan ayah yang sudah tidak mampu berdiri. Ayah menggunakan lampin pakai buang.

Ayah menerima kunjungan dari sahabat-sahabatnya di Kuala Lumpur dan dari Terengganu. Tetapi ingatan ayah sudah tidak sebaik dulu. Mata ayah juga semakin kabur kesan dari penyakitnya.



Ayah menerima kunjungan Dato Shabery Chik



Menerima kunjungan dari Menteri Besar Terengganu, Dato Ahmad Razif

Ayah sudah tidak bermaya untuk bangun bagi meraikan tetamunya. Sedih melihat keadaan ayah. Hatiku sebak dan merintih pada Allah moga Allah mengampuni dan memberi rahmat kepada ayahku.

Moga jasa baik ayah yang dibuat sepanjang hidupnya akan dikira oleh Allah sebagai amal jariahnya dan semoga dosa yang telah dilakukan akan diberi keampunan.

Tanggal 18 September, adik memberitahu melalui Whatssap keluarga yang ayahku sedang kritikal di Klinik Kesihatan Dungun, ketika tiba untuk menyedut kahak, Ayah dibawa ke Hospital Dungun dan diberikan bantuan alat pernafasan. Ayah sangat kritikal ketika ini. Hanya menanti anak-anak semua pulang untuk kali terakhir bagi menatap wajahnya.

Setelah semua anak-anak berada disisi, akhirnya, alat bantuan pernafasan ayah dibuka. Doktor memberitahu, ayah akan "pergi" secara perlahan-lahan... Kami semua redha daripada melihatnya tersiksa.

Ayah dibawa pulang ke rumah hasil titik peluhnya buat kali yang terakhir. Ayah dibaringkan di tengah ruang tamu. Semua adik beradik dan anak-anak ayah mengiringi ayah dan perjalanan rohnya dengan bacaan Yaasin. Aku dapat melihat betapa nazaknya ayah ketika ini. Dadanya berombak menahan sakartul maut. Kami sendu dan bertukar tangis. 

Tepat jam 1.59 pagi, ayah menghembuskan nafasnya buat kali akhir..... Ya Tuhan, kami redha dengan ketentuan Mu. Dari Mu kami datang dan kepada Mu jua kami akan dikembalikan.

aya

Ayah selamat dikebumikan di perkuburan Syed Yahya di Dungun pada jam 11.30 pagi sebelum solat Jumaat. Semoga ayah dirahmati oleh Allah di alam barzakh. 

Untuk ayah, seramai 7 orang zuriat yang ayah tinggalkan, akan kami tunaikan amanah ayah dengan sebaiknya. Fatihah akan kami sedekahkan sepanjang masa untuk ayah. Doa kami akan mengiringi ayah. Kami juga akan menyusul ayah, walaupun entah bila.

Kini, tiada lagi gurau senda ayah bersama cucu-cucunya... Yang tinggal hanyalah kenangan. 


Banyak sekali berita tentang ayah di akhbar. Semoga jasa ayah  dalam bidang kewartawanan akan dikenang sepanjang masa.

DUNGUN: Bekas editor Bernama Ali Mamat, 63, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Kubang Miang di sini jam 1.56 pagi tadi.
Anak sulung Allahyarham, Maheran Ali, 41, berkata ayahnya dimasukkan ke Hospital Dungun awal pagi semalam setelah mengalami sesak nafas.
"Allahyarham mengalami sakit tenat akibat penyakit kanser hati sejak April lalu dan mendapat beberapa rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah," katanya kepada media di sini hari ini.
Allahyarham meninggalkan dua orang isteri Maimun Yahya, 55, dan Aini Abdullah, 42 serta tujuh anak.

KUALA LUMPUR: Pemergian bekas editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ali Mamat dilihat satu kehilangan besar dalam dunia kewartawan terutamanya penulisan berita dan laporan jenayah.

Allahyarham Ali, 63, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Kubang Miang di sini pada 1.56 pagi Jumaat  akibat kanser hati.

Allahyarham, yang memenangi Anugerah Kajai pada 1982 dan 1988, dikenang sebagai satu-satunya wartawan yang mengikuti operasi polis ketika memburu penjenayah 'Botak Chin' pada 1976.

Walaupun penampilannya nampak garang, allahyarham sebenarnya amat disenangi sahabat dan rakan sekerja yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang baik hati.

Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata allahyarham adalah wartawan yang kental dan gigih dalam kehidupan dan kerjayanya.

"Ali Mamat akan dikenang sebagai wartawan gigih terutamanya dalam penghasilan berita-berita jenayah," katanya.

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata allahyarham merupakan sahabat yang baik dan tidak kedekut berkongsi petua dalam pekerjaannya.

Bagi Timbalan Ketua Pengarang Meja Ekonomi Mikhail Raj Abdullah, allahyarhamadalah seorang yang berdedikasi dan rajin berusaha mencari berita-berita eksklusif untuk Bernama.

"Beliau juga sering mengenang pengalaman membuat liputan krisis tebusan Tentera Merah Jepun di Jalan Ampang di mana beliau berjaya hasilkan berita eksklusif mengenai insiden itu untuk Bernama," kata beliau.

Ketua Penyunting Meja Penyuntingan Bahasa Inggeris Bernama M.Govind Nair pula menyifatkan Allahyarham Ali sebagai seorang wartawan jenayah yang hebat dan luar biasa.

"Beliau mungkin kelihatan garang, namun beliau seorang yang amat baik hati. Semasa tugasan pertama saya dalam bulan April 1974, beliau membantu saya mendapatkan berita eksklusif. 

"Ali seorang wartawan jenayah yang hebat. Saya masih ingat Badan Pencegahan Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pernah menunggu beliau tiba sebelum memulakan sidang berita," katanya.

Penolong Pengarang Meja PBDN R. Ravichandran berkata beliau sangat terkesan dengan kehilangan allahyarham dan akan terus mengingati segala nasihat dan tunjuk ajarnya.

"Sangat sedih, allahyarham antara orang yang mendidik saya dalam dunia kewartawanan ketika saya mula bekerja, semoga keluarganya tabah menghadapi kehilangan ini," katanya.

Ketua Editor Tugasan BernamaTV Abdul Rahman Ahmad yang pernah bertugas bersama Allahyarham Ali di Biro Terengganu berkata allahyarham seorang insan yang peramah selain mempunyai budi pekerti yang baik.

"Ali Mamat adalah orang yang banyak mengajar saya mengenai kewartawanan. Saya sebak ketika mengimbau masa yang kami lalui ketika bekerja bersama,"katanya.

Konsultan Meja Berita Am PBDN S.Siva pula berkata: "Ali Mamat adalah antarayang menjadikan bidang kewartawanan sesuatu yang menyeronokkan...beliau meninggalkan kami dengan memori indah".

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Terengganu  (Kawat) Ayob Mamat berkata allahyarham adalah antara pengasas Kawat semasa penubuhannya pada 1982.

"Allahyarham pernah menjawat jawatan Presiden Kawat pada awal penubuhannya ketika menjadi Ketua Biro Terengganu. Beliau juga merupakan orang yang mencetuskan idea pemberian Anugerah Kawat untuk wartawan cemerlang dalam liputan berita dan rencana di Terengganu," katanya.

Allahyarham Ali meninggalkan dua isteri Maimun Yahya, 55, dan Aini Abdullah, 42, serta tujuh anak.


KEMULIAAN NABI MUHAMMAD SAW

Wajib kita maklum bahawa kedudukan dan kemuliaan nabi Muhammad Saw sangat agung. Begitu banyak nas menjelaskan. Antaranya firman Allah ...