Kenapa dengan ayah...
Ayah...disahkan mengidap penyakit kanser hati. Sangat menggerunkan. Seolah menanti masa sahaja. Bermula dengan disyaki ulser perut, penyakit ayah dari sehari ke sehari menampakkan tidak ada penyembuhannya. Laser dah beberapa kali dibuat di HUSM Kubang Kerian. Kini, menurut doktor, hati ayah sudah rosak kesemuanya. Hati yang ditugaskan untuk membuang toksik telah hilang fungsinya.
ayah juga menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok kecil. Kesemua penyakit ini menyumbang kepada faktor yang menyebabkan ayah tidak berupaya bergerak.
Sehabis daya di hospital, ayah kini terlantar di rumah. Aku yang pulang pada hujung minggu, melihat ayah yang merosot dari hari ke hari. Bermula boleh makan, kini hanya minum air sahaja. Sudah tidak boleh berjalan sendiri hatta mengengsot sekalipun. Ayah kini gunakan lampin pakai buang. Mata ayah kini telah ditarik nikmat penglihatannya. Ayah sudah tidak dapat melihat apa pun. Menurut doktor, kanser hati ayah sudah sampai ke otak.
Kunjungan dari kenalannya tidak pernah putus. Terima kasih untuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif dan Dato Shabery Chik yang sudi berkunjung serta menghulurkan bantuan serta Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan yang sudi melakukan tahlil dan solat hajat untuk ayah. Doa kalian semua amat dihargai.
Sebagai seorang anak, aku sungguh sedih seolah tiada kata untuk diluahkan apabila melihat ayah terlantar sebegini. Hanya ku pohon ke Allah agar memudahkan urusan hidup dan matinya. Semoga kita tidak dibebankan oleh Allah dengan dosa-dosa lampau kita. Keadaan ayah menginsafkan aku, bahawa nikmat kesihatan, panjang umur, masa sihat, masa lapang dan nikmat hidup yang Allah berikan haruslah kita manfaatkan sepenuhnya. Peluang itu hanya sekali sahaja.

Menerima kunjungan Dato Ahmad Shabery Chik dan Menteri Besar Terengganu.




No comments:
Post a Comment